Welcome to my blog..Feel free to drop ur comments and please don't forget to be my follower..ok ^__^ thank you so much!!

Wednesday 21 November 2012

Masih ada Pintu yang Lain


Semua yang berlaku dalam hidup mengajar kita untuk menjadi seseorang yang lebih bersedia menghadapi masa depan. Banyak perkara yang terjadi membuatkan kita ada kalanya hampir berputus asa dan terus jatuh tersungkur. Namun, sampai masanya nanti kita pasti akan bangkit semula dan memulakan langkah baru dengan azam yang baru. Tetapi hanya beberapa orang sahaja yang mampu bangkit dan ada sesetengah orang akan bangkit setelah berkurun lamanya memendam diri berseorangan. Sebenarnya apa yang kita cari saat itu ialah kekuatan dan keberanian untuk bangkit semula.

Sahabat dan keluarga adalah orang yang paling penting untuk membantu kita saat itu. Kita mengharapkan sokongan dan perhatian agar kekuatan untuk bangkit itu menyala. Bukanlah satu kritikan yang membunuh. Siapapun kita, tidak lari daripada melakukan kesilapan. Tapi bukanlah bermakna kita boleh melakukan kesilapan sewenang-wenangnya hanya kerana kita manusia biasa. Kita diberikan akal dan fikiran untuk memilih jalan terbaik. Sebaik-baiknya, apabila kita tersedar yang kita terlanjur membuat kesilapan yang cukup besar cepat-cepatlah insaf dan berpatah semula ke jalan yang betul. Andai kata kita menemui jalan buntu, carilah orang yang betul-betul boleh bagi pandangan atau nasihat yang baik.

Jangan Rumitkan Keadaan
Seringkali kita melakukan kesilapan berganda dengan merumitkan lagi kesalahan yang sedia ada. Contohnya,  kita terlupa untuk buat kerja sekolah dan untuk mengelak daripada dimarahi cikgu, kita memilih untuk simpan buku dan kerja sekolah tersebut untuk satu tempoh. Akhirnya, kerja sekolah yang sepatutnya sedikit, lama-lama menjadi sangat banyak sehingga kita tidak mampu untuk menyiapkan kerja sekolah tersebut dalam masa yang singkat. Lebih baik kita berani menghadapi hukuman untuk kesilapan kecil itu daripada berdepan dengan hukuman dengan kesalahan yang cukup besar.

Andai kata kita mmbuat kesilapan yang cukup besar dalam hidup kita, bermohon ampunlah kepada Tuhan. Hanya itulah selayaknya kita sebagai manusia, mengadulah kepada Tuhan. Mohon agar diberikan kekuatan untuk hari-hari yang akan datang. Jangan dikenang lagi kisah yang lalu, jadikan itu sebagai pengalaman hidup supaya kita tidak sekali-kali melakukan kesalahan yang sama lagi. Ingatlah, kita hidup untuk hari ini dan masa depan. Bukan untuk masa lalu yang kita sudah jauh tinggalkan.

Tidak diterima masyarakat?
Sakitnya apabila berhadapan dengan orang sekeliling yang masih tidak mahu menerima kita dengan kesalahan yang lalu itu. Rasanya kita ini terlalu hina untuk dinilai di sudut pandangan mereka. Bagaimanapun, kita sepatutnya bersyukur sebab kita masih mampu untuk berubah daripada kita terus dengan kesilapan lama. Biarkan masa berlalu sehingga satu hari kelak mereka sudi menerima kita semula. Kita tidak mampu paksa mereka untuk menerima kita. Beranggapanlah mereka itu adalah luka yang perlu disembuhkan dalam jangka masa yang lama. Berdoalah kepada Tuhan agar luka tersebut lebih cepat sembuh.

Tutup Yang Lama dan Bukalah Pintu Yang Lain


Merenung lama ke sebuah pintu yang kita pernah buka dan kini kita sudah tutup tidak akan membantu kita untuk mengubah apa yang ada di sebalik pintu itu melainkan kita menuju untuk membuka pintu-pintu yang lain. Jangan tunggu esok, bukalah hari ini. Tapi jangan buka terlalu banyak pintu, nanti kita tersesat masuk dan susah untuk keluar.

:: Sekian ::
Wassalam

Sunday 9 September 2012

Kemarahan Yang Terlerai



Assalamualaikum dan salam persahabatan untuk semua.. 
..sorry sebab saya jadi senyap seketika =P

Hari ini, saya kongsikan sebuah kisah kekeluargaan...seperti biasa ini hanyalah cetusan idea semata-mata..Tiada sebarang hubungkait dengan mana-mana watak kehidupan..Jalan cerita agak singkat. Maaf jika kualiti penceritaan agak membosankan. 

Aizat..Nama itu masih mekar dalam mindaku..Dialah adikku yang berbeza daripada adik-adikku yang lain. Dia seorang yang agak pemalas dan manja. Oleh kerana tahun ini dia bakal menduduki SPM, maka aku membawanya tinggal bersamaku di Bandar tempatku bekerja. Aku menjaga dan mengatur hidupnya tidak kurang seperti perhatian seorang ibu terhadap anaknya. Perbelanjaan makan, minum dan keperluan lainnya aku yang tanggung sepenuhnya.

Itulah Aizat. Perangainya yang malas dan cuai selalu membuatkan aku geram dan sering memarahi dia. Bukan kerana aku tidak memahami ia, tapi sikapnya yang tidak mahu berubah menyebabkan aku menjadi garang dan tegas untuk setiap kesalahan yang dia lakukan. Ada masa tertentu, aku cuba berlembut dan memberi nasihat dengan harapan agar dia berubah sedikit demi sedikit. Namun, kesabaranku semakin memuncak, ledakan marahku menjadi-jadi. Aku nekad menghantar dia ke kampung semula.

Seminggu sudah berlalu. Aizat pun dihantar semula ke kampung, namun perangainya bertambah teruk. Ibu mengatakan keputusan peperiksaan Aizat masih teruk dan dia langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap. Aku jadi agresif, aku jadi orang yang pentingkan diri.  Aku malas ambil peduli dengan Aizat. Biarlah dia dengan perangai buruknya sendiri. Lagipun, aku ada banyak perkara perlu diutamakan. Namun, aku tetap seorang kakak. Bagaimanapun, aku tidak sanggup membiarkan adikku sendiri terkial-kial mengatur hidup. Sepanjang bulan Ramadhan itu, perangainya bertambah teruk. Dia selalu tidur berlebih-lebih dari biasanya. Kerana itu, aku menjadi seorang yang pemarah. Hari ini aku marah dan esoknya aku akan marah dan marah lagi. Aizat pula akan terus begitu tanpa rasa bersalah.

Minggu lalu dia kerap menelefon aku. Rupanya,dia minta dibelikan kalkulator saintifik yang baru. Katanya, kalkulator dulu sudah hilang kerana kecuaian dia sendiri. Aku hilang pertimbangan untuk menasihati dia secara lembut dan aku terus memarahi dia lagi. Memandangkan perangainya yang pemalas itu, bagiku adanya kalkulator itu ataupun tidak, pasti tidak memberi kesan kerana ketika kalkulator itu masih ada bersama dia pun, keputusan peperiksaannya tetap gagal teruk.


Seminggu sebelum menjelangnya hari raya, aku dapat bonus dari bosku. Dengan wang gaji dan bonus itulah aku belikan baju raya untuk semua anggota keluarga termasuklah Aizat. Walaupun aku masih marah dan geram dengan perangainya ,tapi aku memang tidak sampai hati untuk tidak membelikan dia baju raya seperi adik-beradik yang lain. Aku sengaja lambat belikan baju Melayu untuk dia. Aku mengugut agar dia berjanji untuk berubah sikap barulah aku belikan baju Melayu raya untuk dia. Seperti biasa, dia hanya berjanji kosong dan aku hanya mampu bersabar.



Akhirnya, aku belikan dia sepasang baju melayu dengan kalkulator saintifik yang baru. Sebaik sahaja sampai di rumah, apabila dia dapat baju melayu tadi, bayangkan satu rumah tu dia mahu tayangkan baju baru dia. Betul-betul macam budak kecik.Tersengih-sengih dia ucap terima kasih. Aku berpura-pura malas melayan perangai dia walaupun saat itu aku cukup terhibur melihat telatahnya tadi. Ketika hari raya pertama, dialah orang yang paling sibuk untuk mengambil gambar. Di mana-mana pun dia akan bergambar. Perangai Aizat tidak jauh beza seperti orang yang tidak pernah jumpa kamera. Suatu ketika saat dia memegang kamera untuk mengambil gambar, dia menghampiri aku dan bertanya,
“Bolehkan Aizat bergambar dengan kakak? Aizat mahu gambar kita berdua ja. Nanti boleh letak dalam album.”

Sambil tersenyum, aku mengangguk tanda setuju. Dia berdiri di sebelahku dengan senyuman yang ckup manis, aku pun cuba bagi senyuman semanis yang mungkin. Sebanyak tiga kali gambar kami berdua diambil dan disimpan dalam memori kamera itu. Dengan muka yang selamba dia bercakap,
“Save gambar tu betul-betul. Mahal tau gambar Aizat ni. Tiada di pasaran, ”sambil ketawa berdekah-dekah. Aku tergelak kecil mendengarkan gurauannya itu. Aku lupa kemarahanku seketika. Sempena hari raya ni, biarlah aku cuba berbaik-baik dengan Aizat. Mungkin esok-esok dia pasti berubah juga.

Tengahari itu aku mengantuk dan tidur sekejap. Mataku terasa cukup berat kerana semalaman membantu ibu menyediakan ketupat untuk dimasak awal pagi tadi. Dalam lena yang pendek itu, aku sempat bermimpi yang kononnya Aizat datang memohon maaf kepadaku dengan riak wajahnya yang ikhlas. Entah mengapa mimpi itu terasa cukup sayu hingga menyebabkan aku tersedar dari mimpi. Di tepi pembaringan aku, sehelai sampul duit raya yang disisipkan di hujung bantal dan tertera perkataan ’SURAT RAYA UNTUK KAKAK TERCINTA-ADIK-’. Adoi. Dia masih tidak habis-habis lagi dengan perangai kebudak-budakan itu. Aku tersenyum membaca ikrar dalam suratnya itu, kononnya dia berazam untuk berubah menjadi seorang yang rajin dan tidak mahu jadi malas lagi. Aku hanya mampu tersenyum dan memanjatkan doa semoga dia benar-benar akan berubah. Lantas aku bangun dari pembaringan dan mencari-cari muka selambanya di ruang tamu namun ternyata kosong. Aku menuju ke dapur pun dia masih juga tidak kelihatan. Rupanya dia pergi beraya bersama sepupu yang lain.

Petang maghrib itu, ramai orang datang bertandang ke rumah untuk memberitahu bahawa ada orang yang terjatuh dari jambatan dan dihanyutkan dengan air sungai yang deras. Aku terbayang keadaan jambatan itu yang sememangnya sudah uzur dan perlu digantikan dengan jambatan yang lebih kukuh. Entah mengapa tiba-tiba perasaanku menjadi gelisah, aku menuju ke sana. Perasaanku bercampur-baur dan menjadi tidak menentu kerana saat itu juga adikku, Aizat juga masih belum pulang bersama sepupunya yang lain. Dengar cerita, mayat mangsa masih belum dijumpai. Aku cuba berfikir positif. 48 jam pencarian berakhir apabila sekujur mayat dijumpai menyangkut pada hujung ranting keras di tepi sungai. Itulah mayat adikku Aizat. Aku bagaikan kekeringan air mata dengan bersisakan kejutan itu menyebabkan aku tidak mampu menangis. Aku menatap wajahnya. Saat itu jugalah, aku mencari-cari riak wajah yang sering tersengih namun hanya seraut wajah yang pucat kaku dan penuh tompokan lebam dapat aku perhatikan. Aku cuba mengingati semua raut wajahnya, namun aku bagaikan hilang ingatan. Aku tewas dengan perasaanku sendiri, aku menangis semahu-mahunya. 

Tiada apa yang aku dapat luahkan saat itu, hanya tangisan dan harapan agar tubuh kaku Aizat bangkit dan pulih seperti sedia kala. Aku berjanji tidak akan marah-marah lagi. Sesungguhnya aku masih berharap...

Tuesday 3 April 2012

Jatuh Cinta Sebagai Orang Ketiga

Jatuh cinta bukan sesuatu yang boleh dirancang atau dihalang. Inilah soal hati. Persoalan hati merupakan satu perkara yang tidak mampu dizahirkan dengan kata-kata tapi ia dapat dijelaskan walaupun hanya dengan pandangan mata ataupun perlakuan seseorang. Sekali pun, kata-kata menidakkan perasaan yang lahir,tapi perlakuan dan pandangan mata tetap gagal untuk berkata tidak.
Pertemuan dan perpisahan yang tercipta mampu terpaut kukuh di setiap ingatan individu walaupun ianya cukup pahit untuk dikenang.


Sesungguhnya,perasaan itu bukanlah sesuatu yang dapat ditentukan sendiri. Datang dan hilangnya perasaan itu secara tiba-tiba dan mungkin pernah di antara kita yang tertarik dengan seseorang yang telah dimiliki. Percayalah bahawa tiada seorang pun yang bercita-cita untuk memegang watak 'orang ketiga' dalam sebuah kisah cinta. Kita yang mengejar kebahagiaan inilah yang sebenarnya melanggar adat percintaan seperti itu hingga sanggup menjadi watak sampingan atau pihak ketiga ataupun watak antagonis yang menjadi perosak hubungan semata-mata mahu mengecapi kebahagiaan untuk diri sendiri. Terjadilah satu jenayah dalam sebuah kisah cinta..Sudahlah... Bangunlah wahai hati. Bayangkanlah suatu masa, di saat kita menjadi pasangan kepada seseorang yang kita cintai, pastinya kita barharap agar hubungan itu terpelihara dan berkekalan daripada gangguan pihak lain.. dan bagaimana pula perasaan jika kita  berhadapan dengan pihak ketiga dalam kisah hati kita sendiri? Cukup menyakitkan ...!


Belajarlah untuk bersyukur dan bersabarlah. Percayalah bahawa Tuhan telah menciptakan seseorang untuk kita yang pastinya lebih sempurna untuk kisah cinta kita sendiri pada masa yang akan datang. Jangan terlalu ghairah mengejar cinta hingga sanggup merosakkan impian pasangan lain.

Berdoalah seikhlas hati dan yakin,,,,,
Jika dia jodohku, maka dekatkanlah hatiku dan hatinya dengan berkatMu dalam ikatan yang Engkau redhai, namun jika sememangnya dia bukanlah untukku, maka tutupkanlah hatiku agar tidak mencintai dia dan jauhkanlah aku daripada hidupnya. Berikanlah aku kekuatan dan kebahagiaan sebagaimana Engkau membahagiakan dia dan pasangannya. Kurniakanlah aku pasangan yang lebih baik yang sentiasa mengingatkan aku kepadaMu dan jauh daripada kemungkaranMu. Sesungguhnya hanya padaMu aku berserah..

Sesungguhnya,kita akan memilih madu walaupun perlu berhadapan dengan sarang tebuan, untuk mencalit madunya biarpun sedikit daripada menggilis batang tebu untuk mendapat perahan yang banyak tetapi manisnya tidak semanis madu...

:: Terima Kasih Sahabat  ^__^ ::
..askzhye..

My PoPuLaR POsTs