~Assalamualaikum semua~
Alhamdulillah sekarang kita sudah tiba ke tahun 2013. Rasanya macam terlalu cepat masa berlalu. Seolah-olah apa yang pernah terjadi dalam hidup kita sepanjang tahun-tahun lepas tu baru terjadi beberapa hari yang lepas. Apa-apa pun, kita sepatutnya rasa bersyukur sebab sampai hari ini kita masih mampu bernafas dan hidup seperti tahun sebelum ni. Tidak lupa juga kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita, mari kita ambil masa beberapa minit untuk mendoakan mereka. Al Fatihah. Mudah-mudahan roh mereka sentiasa dalam berkat dan rahmat Illahi.
Apabila sebut tentang tahun baru ni, rasanya ramai di antara kita yang menganggap tarikh ini cukup penting terutamanya bagi mereka yang mahu menjadikan tarikh tersebut sebagai satu tarikh untuk membuat satu perubahan nyata dalam kehidupan. Sama ada untuk ke arah lebih baik atau sebaliknya. Sememangnya kita akan memilih untuk jadi lebih baik, tapi kadang-kadang kita terlupa tujuan untuk berubah sampaikan kita tersilap langkah dan akhirnya berubah ke arah yang salah. Perancangan untuk berubah ke arah yang baru inilah yang dinamakan azam baru.
Kenapa lebih ramai yang berazam baru pada awal tahun? Kenapa tidak berazam baru pada hari-hari yang biasa? Ini ialah kerana tarikh itu lebih mudah diingati dan ramai yang menggangap 1hb Januari itu adalah permulaan sesi yang baru bagi tahun yang baru. Lagipun kita sedar bahawa pada setiap tahun yang berlalu, kita akan lebih tua daripada tahun sebelumnya. Jadi kesedaran untuk berubah itu lebih kuat berbanding hari-hari yang lain. Kalau difikir semula, sebenarnya kita boleh berazam baru untuk setiap hari dan minggu sebab perubahan kita ini bukanlah disebabkan peningkatan umur semata-mata, tapi dari cara kita berfikir dan membuat keputusan atau tindakan apabila berdepan dengan permasalahan hidup yang semakin hari semakin mencabar.
Kenapa kita gagal untuk berazam baru?
* tidak bersungguh-sungguh untuk berubah.
* tidak berusaha mencari jalan untuk berubah.
* menjadikan masalah yang timbul sebagai halangan untuk berubah.
* persekitaran dan cara hidup yang sama seperti sebelumnya.
* tidak tahu matlamat untuk berubah
Apa pun pilihan kita sama ada susah atau senang, semuanya dari diri kita sendiri untuk berubah. Ada kalanya, kita akan berputus asa untuk berubah sebab kita tahu kita lemah,jadi jangan berhenti separuh jalan. Jika perubahan itu ternyata memakan diri dan lebih memburukkan keadaan, ada lebih baik kita tetapkan azam yang lebih sesuai dengan kemampuan yang ada. Tidak tahan dengan kritikan orang? Itu normal, yang penting kita tahu apa yang kita buat. Kalau kritikan itu membantu, kenapa kita perlu mengelak?Ambillah sebanyak mana pun kritikan yang penting tidak menyusutkan fikiran. Hati-hati. Yang manis jangan terus ditelan, yang pahit jangan terus dibuang.
Memang susah untuk jadi baik, jadi jangan persoalkan kenapa Syurga itu terlalu indah tetapi sukar untuk diraih. Seperti emas, yang tulen juga yang mahal walaupun ringan sedangkan emas yang palsu lebih berat tapi sayangnya tidak laku untuk digadai...
~Sekian untuk hari ini
~
:
:
W
a
s
s
a
l
a
m
:
:
:
No comments:
Post a Comment